RSS Feed

Tzipi Livni Israel.. jelmaan Golda Meir kedua?


Ali Bukhari Amir
Fri | Jan 02, 09 | 10:35:24 pm MYT

Dalam satu ucapannya, pemimpin Parti Kadima dan Menteri Luar Negeri Israel Tzipi Livni telah menunjukkan pendiriannya berhubung kegiatan keganasan pihak Hamas.




"Sesiapa saja yang memberi sokongan atau perlindungan kepada Hamas, sekarang harus membayar harganya," kata beliau.

Tzipi Livni kerap dilihat sebagai bayangan Golda Meir (1898-1978), Perdana Menteri Israel, seorang wanita besi yang bertanggungjawab dalam beberapa siri pembunuhan golonan elit Arab sekitar 1970-an.

Mereka yang menonton filem Munich (2006) pasti dapat melihat watak Golda Meir, PM Israel Ke-4 (1969-1974) ini, yang bermodalkan hati keringnya, mengarahkan seorang ahli Mossad untuk membunuh ahli-ahli September Hitam, anggota PFLP yang terlibat dengan pembunuhan ahli sukan Israel di Munich ketika Olimpik berlangsung pada 1972.

Ketegasan Golda Meir itu membuahkan hasil. BBC menggelarnya sebagai 'Wanita Besi', satu jolokan dalam politik Israel sebelum istilah itu ternobat buat Margaret Thatcher. Dan hal ini menyebabkan beliau dilihat sebagai tokoh wanita termasyhur di Israel.

Barangkali, Tzipi Livni lebih dahsyat! Sesiapa pun mungkin tidak menjangkakan bahawa di sebalik raut wajahnya yang termasuk dalam wanita yang ada rupa paras bergaya, sosok itu ternyata memiliki jalur keturunan yang gelap dalam pengusiran warga Palestin.

Empat tahun bergelumang dengan Mossad dan jawatan yang didudukinya itu pernah juga dijawat oleh Ariel Sharon, maka Livni tidak boleh menolak lagi bahawa hubungan beliau dengan Mossad amat erat.

Sesiapa yang ingin mengetahui betapa bahaya serta biadapnya Mossad, silakan menonton filem You Don't Mess With The Zohan, lakonan Adam Sandler yang memberikan wajah gelap dan dampak buruk ke atas Arab dan Palestin.

Kalaulah BBC menggelar Golda Meir sebagai 'wanita besi', maka Forbes menempatkan Livni di tempat ke-52, wanita 'paling berkuasa' di seluruh dunia. Maka, kenyataan Livni dalam ucapannya kini amat bercanggah dengan apa yang dibuatnya sebelum ini.

Dolak-dalik Livni kian ketara?
Selama ini dunia mengenalnya sebagai tokoh yang berperanan dalam berbagai rundingan perdamaian antara Israel dan Palestin walaupun rundingan itu tidak ke mana-mana. Livni tergolong dalam watak yang menyetujui usul penarikan Israel dari wilayah Tebing Barat, sebelum ini. Sekarang, bunga-bunga sengketa mula berkembang.

Adakah wanita ini akan mula beraksi bagaikan Golda Meir?

Dolak-dalik perkataannya sukar diintai kebenarannya. Dalam forum ekonomi dunia di Davos, Israel dan Palestin sama-sama berjanji mahu berdamai.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pun ketika itu mendengar pidato Menteri Luar Negeri Israel Tzipi Livni lalu berjabat tangan dengannya ekoran ucapan perdamaian itu. Dalam pidato kedua-duanya, ada suara sepakat untuk tidak berkompromi dengan para pengganas dan walau sulit bagaimana sekali pun, proses damai itu, pasti tercapai juga akhirnya.

Demikian antara isi dan ikatan perjanjian lidah antara mereka. Di mana-mana pun, serata dunia mengutuk pencabulan perjanjian itu. Di kebanyakan negara, bantahan pun merebak bagaikan barah yang tak terbendung.

Menurut laporan akhbar, dalam tempoh enam hari, serangan Israel itu telah masuk hari ke enam dan tragedi berdarah itu telah mengorbankan 410 penduduk awam Palestin dan mengakibatkan 1,900 yang lain cedera.

Apakah alasan Tzipi Livni ke atas keganasan Hamas ini boleh diterima?

"Kami kutuk alasan Israel bagi menghalalkan serangan. Serangan atas alasan membunuh aktivis Hamas adalah alasan yang tak masuk akal memandangkan serangan itu dilakukan secara terang-terangan ke atas kawasan Bandar, perumahan para penduduk awam," kata Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Peranan OIC dan pertubuhan Islam
Dalam tempoh genting, pertubuhan pelajar itu turut menggesa badan-badan antarabangsa bersikap tegas dalam usaha mendesak regim zionis menghentikan serangan.

"Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam, sudah tiba masanya PBB, OIC, dan EU bersuara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel.

"Serangan Israel ini adalah bibit permulaan kepada peperangan besar-besaran dan kita tak menolak kemungkinan siri peperangan antara Arab, Israel sekitar 1973 meletus kembali," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menyelar kedegilan Mesir pimpinan Hosni Mubarak yang membuka sempadan Gaza melalui pintu lintasan Rafah.

"Keengganan beliau telah membantu kepungan wilayah Gaza oleh Israel memandangkan penduduk awam Gaza tak dapat melarikan diri ke sempadan Mesir untuk mencari tempat perlindungan," ujarnya.

Petunjuk awal daripada baginda Rasulullah s.a.w memberi gambaran isyarat terhadap kita bahawa akan tiba masanya nanti, Muslimin seluruh dunia akan mengepung wilayah Israel sehinggakan, yang menyelamatkan mereka hanyalah pohonan Gharqad.

Ternyata.. semangat kebangsaan Arab belum dapat mengeluarkan rakyat di bumi Palestin daripada jalur-jalur penjajahan Israel.

Hanya fahaman kemanusiaan yang luhur dan kaum Islam yang bebas dari batasan, jalur kebangsaan saja yang mungkin boleh bertindak!

10:26 p.m, 2 Januari
Sekolah Pemikiran Pendang

Pandangan, maklumbalas anda boleh dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com. _

0 comments: